Doa Kesyukuran sempena 27 Tahun Perkhidmatan Hospital PMMPMHAMB




Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim / Foto : Dk. Nur Hafilah Pg. Osman





TUTONG, Selasa, 12 Ogos. - Kementerian Kesihatan mengadakan Majlis Doa Kesyukuran bersempena 27 Tahun Perkhidmatan Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah (PMMPMHAMB) Tutong.


Majlis berkenaan diadakan di Surau As-Salam, Hospital PMMPMHAMB, di sini.


Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.


Majlis didahului dengan Sembahyang Fardu Zuhur Berjemaah yang diimamkan oleh Awangku Muhammad Hafiz bin Pengiran Haji Rusnan; dan Sembahyang Hajat Berjemaah yang diimamkan oleh Awang Mohd. Danish Firdaus bin Amin.


Majlis diteruskan lagi dengan Doa Kesyukuran sempena memperingati 27 Tahun Perkhidmatan Hospital PMMPMHAMB, Tutong yang dibaca oleh Awang Mohammad Najib bin Haji Awang Iskandar.


Majlis sambutan tersebut bertujuan untuk memberikan dan menghargai perkhidmatan warga hospital berkenaan dalam melaksanakan tugasan yang telah diamanahkan.


Turut hadir pada majlis berkenaan, Pemangku Setiausaha Tetap, Kementerian Kesihatan, Dr. Hajah Rafidah binti Haji Gharif; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan), Pengiran Mohammad Khiruddin bin Pengiran Haji Yusoff; pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Kesihatan dan PMMPMHAMB, Tutong.

Close